Tuesday, May 13, 2008

Basahkan Hatimu Dengan Ikhlas

+copy paste from iluvislam.com

Sabda Nabi s.a.w :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : انما الاعمال بالنيات وانما لكل امرىء مانوى

Maksudnya : "Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat, dan sesungguhnya bagi setipa individu itu apa yang diniatkannya...."


Hadis riwayat saidina Umar r.a ini bukanlah asing bagi kita. Bahkan mungkin ada yang sudah jemu bila tajuk niat dan ikhlas diutarakan. Namun, kerana nilainya yang cukup besar, ditambah dengan sukarnya untuk sampai ke maqam ini, para ulama' tidak jemu-jemu membincangkannya dalam kehidupan kita. Abu Daud dalam mengkomentari hadis ini berkata ; "sesungguhnya hadis ini merupakan separuh daripada Islam, kerana agama terdiri daripada zahir yang merupakan amal atau batin yang merupakan niat." Dari sinilah timbulnya persoalan sah atau batal sesuatu amalan, ikhlas dan riya', juga pecahan hukum yang pelbagai.

Firman Allah Ta'ala :

وما أمروا الا ليعبدوا الله مخلصين له الدين

"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya."

Untuk mengungkap perkataan ikhlas amat senang bagi sesiapa pun, namun bila tiba kepada pelaksanaannya, tidak ramai yang mampu menjaga hati agar tidak timbul qasad yang bercabang, jauh daaripada lekatnya hati kepada makhluk. Kosongnya hati kecuali hanya semata-mata kerana Allah Ta'ala memerlukan mujahadah yang berpanjangan. Manefestasi keikhlasan yang tulen ini diungkapakan oleh Rabiatul Adawiyah dalam syairnya :

كلهم يعبدك من خوف النار ويرون النجاة حظا جزيلا
او بان يسكنوا الجنان ويحظوا بقصور ويشربوا سلسبيلا
وانا ليس لى فى النار ولا الجنة رغب انا لا ارضى بحبى بديلا

"Mereka menyembah Mu kerana takutkan neraka, dan beranggapan lepas daripada azabnya satu kejayaan yang besar. Ataupun kerana ingin menghuni syurga dan memperolehi mahligai dan minum air salsabila. Akan tetapi aku bukanlah menyembaMu kerana untuk lepas daripada neraka atau untuk mendapatkan syurga, aku tidak rela cintaku ditukar ganti."

Bagi tokoh sufi ini ibadatnya semata-mata kerana Allah. Ganjaran syurga atau pelepasan daripada siksa neraka bukanlah sesuatu yang dikejar, namun ibadatnya hanya semata-mata kerana cinta kepada Allah Ta'ala, maka terpulanglah kepada Allah untuk memberikan ganjaran yang sepatutnya di atas amalan yang dibuat.

Persoalan ikhlas merupakan perkara yang luas, ianya mencakupi gerak geri kita seharian. Ikhlas dalam mengerjakan ibadat khusus maupun umum, ikhlas dalam memberikan pertolongan kepada sesama manusia, ikhlas dalam menuntut ilmu dan sebagainya. Pendek kata setiapa gerak geri seharian kita menuntut kepada kemurnian hati.

Dalam membicarakan persoalan ikhlas ini, Ibnu Atho'llah menukilkan dalam kitab Hikamnya:

الاعمال صور قائمة وأرواحها وجود سر الاخلاص فيها

"Amal perbuatan itu sebagai kerangka yang tegak, sedang ruh (jiwanya), ialah terdapatnya rahsia ikhlas (ketulusan) dalam amal perbuatan itu."

Justeru amalan tanpa disertai dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT seolah-olah jasad yang tidak bernyawa. Ramai yang solat tanpa ikhlas, ada yang menunaikan haji semata-mata kerana mahukan gelaran, tak kurang yang menuntut ilmu kerana inginkan title 'Dr' diletakkan dihadapan nama mereka. Justeru marilah sama-sama kita muhasaah diri apakah niat kita yang sebenarnya.

Memahami peri pentingnya ikhlas dalam setiap amalan, Imam Hassan Al-Banna menjadikan ianya sebagai salah satu Rukun Baiah. Penting bagi semua pendokong amal islami menjaga niat dalam menyampaikan dakwah. Tanpa ikhlas kata-kata kita hanya akan sampai ke cuping telinga pendengar bukannya kepada hati mereka.

Biar apa pun niat kita, persoalan ikhlas ini merupakan sirrun min assraarillah (rahsia daripada rahsia Allah). Jadi bukanlah tugas kita untuk menjustifikasi seseorang berdasarkan anggapan kita. Cukuplah kita diajar oleh Nabi saw agar menghukum seseorang berdasarkan kepada zahirnya bukan menduga batinnya kerana ianya bukan kemampuan kita. Tugas kita hanyalah sentiasa bermuhasabah adakah niat kita sudah ikhlas bukan menghukum niat orang lain.

No comments: