Wednesday, October 28, 2009

:: menjelang final exam~

bismillahirrahmanirrahim~

alhmdulillah, syukur pd Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya diri ini masih lagi sihat walafiat. diri ini juga berharap yang keluarga tercinta yang berada di kampung sana juga insyaALLAH sihat walafiat dan sentiasa berada di bawah lembayung rahmatNya.. amin ya ALLAH~

rasanya xde mOod sangat nak coret panjang-panjang entri ana pada kali ini.. cukuplah sekadar ana memasukkan peristiwa yang berlaku semenjak dua menjak neh.. ya ALLAH, ana memang terkesan dengan apa yang menimpa ke atas adik usrah ana.. sedih ana apabila terkenangkan adik wan aini.. hampir sebulan terlantar sakit.. disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan tikus.. ana pun kurang pasti apa jenis penyakitnya. tapi yang pasti telah membuatkan adik wan aini hampir-hampir nazak pada beberapa minggu yang lepas.. ya ALLAH.. sedih datang mengintai diri tatkala dikhabarkan pula oleh teman rapatnya yang mengkhabarkan berita terbaru tetantang adik wan aini kepada ana semalam .. apa beritanya??? ana terkejut dan kaku seketika apabila dikhabarkan yang kedua-dua belah tangan dan kedua-dua belah kaki adik wan aini akan dipotong hari ini!!! ya ALLAH... terasa diri ini lemah sangat.. ya ALLAH, Engkau berikanlah kemudahan kepada apa yang bakal adik wan aini hadapi selepas ini ya ALLAH.. Engkau titipkanlah ketabahan dan kekuatan ke dalam diri adik wan aini ya ALLAH.. ya ALLAH, Engkau kurniakanlah rahmat dan inayahMu kepada dia ya ALLAH.. amin~ ana tahu, adik wan aini memang kuat.. dan harap ana sempat untuk menziarahi adik wan aini ketika ana pulang ke kampung sebelum hari raya Aidhil Adha nanti insyaALLAH..

final exam bakal menjengah minggu depan.. ~ ana harap ana dapat buat yang terbaik untuk final exam bagi semester ini insyaALLAH.. dan ana juga doakan buat sahabat/sahabiah sekalian yang juga bakal menduduki final exam untuk semester ini.. buat yang terbaik !!:) all da bez ya :) bittauFiQ wa najah fil iMtihan insyaALLAH..

sekian saja entri ana pada kali ini.. ilalliQa' insyaALLAH~

Saturday, October 24, 2009

:: Pakaian Muslimah yang Bertaqwa~


Apabila ditanya kepada seorang aktivis wanita Islam ala Barat: “Kenapakah anda tidak memakai tudung?” Jawapan yang diberikan adalah: “Pakaian yang dituntut dalam Islam adalah taqwa!”, merujuk kepada ayat 26 surah al-A’raaf:

“Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”
Memandangkan sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang, maka apa yang dipakai pada jasmaninya tidak perlu dipersoalkan.

Kefahaman seperti ini memang merupakan asas kepada aliran Islam Liberal dalam bab berpakaian. Kita menjawab, benar bahawa sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang. Akan tetapi bagi manusia, apa yang terletak pada rohaninya akan terpancar pada jasmaninya. Orang yang memiliki rohani yang bertaqwa akan terpancar pada jasmaninya sifat-sifat yang membuktikan ketaqwaan tersebut. Sebagai contoh, orang yang bertaqwa akan sentiasa mengeluarkan kata-kata yang tepat lagi benar, selari dengan ketaqwaannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat lagi benar.” [al-Ahzab 33:70]

Demikian juga kaitannya antara rohani yang bertaqwa dan pakaian jasmani seorang muslimah. Ketaqwaan seorang muslimah akan menyebabkan jasmaninya terpancar dengan pakaian yang ciri-cirinya menepati perintah larangan Allah dan Rasul-Nya. Adapun pakaian yang belum menepati ciri-ciri tersebut, maka mungkin ia disebabkan oleh tahap ketaqwaan yang rendah. Mungkin juga, ia disebabkan kejahilan atau salah faham dalam mengetahui apakah ciri-ciri tersebut. Risalah ini insya-Allah akan memberi tumpuan kepada kemungkinan kedua. Kita mulakan dengan ciri-ciri yang pertama:

Ciri Pertama: Bukan merupakan pakaian yang meraih kemasyhuran.

Ciri pertama pakaian muslimah yang bertaqwa adalah pada tujuannya, iaitu ia tidak dipakai demi meraih kemasyhuran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


“Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran maka Allah akan memakaikannya pada hari Kiamat yang semisal, kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka.” [Diriwayatkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4029]
Tidak bertujuan meraih kemasyhuran bukanlah bermakna seorang muslimah tidak boleh memakai pakaian yang baru, kemas, berwarna dan indah. Ini kerana ukuran dalam ciri pertama ini ialah tujuan pemakaian dan bukan apa yang dipakai. Adakalanya seseorang itu turut mencari kemasyhuran dengan memakai pakaian yang buruk, robek dan kelihatan selekeh. Kemasyhuran yang dicarinya adalah mengharapkan pujian daripada orang ramai bahawa kononnya dia memiliki sifat zuhud. Ini juga adalah tujuan pemakaian yang dilarang.


Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa dilarang meraih dua bentuk kemasyhuran dalam berpakaian, yang pertama adalah memakai pakaian yang baik demi menarik perhatian orang atau keduniaan, yang kedua adalah memakai pakaian yang buruk demi menarik perhatian kepadanya. [Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 6102 dengan sanad yang lemah, dikemukakan sebagai penjelas dalam bab ini]

Ciri Kedua: Tidak menyerupai pakaian kaum bukan Islam.
Kita umat Islam dilarang daripada menyerupai kaum bukan Islam dan ini termasuklah dalam ciri-ciri berpakaian. Abdullah bin Amr bin al-‘Ash radhiallahu 'anh berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat saya memakai dua buah kain yang berwarna “Ushfur”, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya ini adalah daripada pakaian orang-orang kafir maka janganlah memakainya.” [Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis 2077].

Terdapat beberapa sebab mengapa Islam melarang umatnya daripada menyerupai kaum bukan Islam dalam apa jua bentuk penampilan jasmani:

1. Penampilan jasmani mencerminkan identiti seseorang, sekali gus mencerminkan apa yang dibanggakannya. Justeru itu kita jarang-jarang melihat orang bukan Islam ingin berpakaian seperti orang Islam, disebabkan kebanggaan mereka dalam memelihara identiti tersendiri dan pandangan mereka yang hina kepada Islam. Sebaliknya kita melihat orang Islam suka berpakaian seperti orang bukan Islam, malah berbangga-bangga dengan pakaian tersebut. Ini amat menggembirakan orang bukan Islam kerana ia menandakan betapa umat Islam memandang hina terhadap diri sendiri dan mencari kemuliaan di sisi mereka.

2. Penampilan jasmani adalah salah satu faktor yang menjalin perhubungan di antara dua orang yang saling tidak berkenalan. Contohnya dua orang polis daripada lokasi yang berlainan, apabila berjumpa di satu tempat akan saling menegur. Faktor yang menggerakkan perhubungan antara mereka adalah pakaian seragam yang hampir mirip. Demikian juga, apabila dua orang muslimah yang tidak saling mengenali berjumpa, faktor yang akan menghubungkan mereka adalah pakaian bercirikan Islam yang mereka kenakan.

3. Penampilan jasmani mencerminkan kecenderungan hati kepada apa yang diminati dan dikasihinya. Orang yang minat kepada pasukan bolasepak pilihannya akan gemar untuk memakai baju jersi pasukan tersebut. Orang yang kasih kepada penyanyi tertentu akan berusaha untuk berfesyen sebagaimana penyanyi tersebut. Demikian juga, seorang muslimah yang cenderung kepada orang bukan Islam akan cenderung untuk berpakaian seperti mereka. Kecenderungan seperti ini adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.” [al-Mujadilah 58:22]

Tuesday, October 6, 2009

:: adab berhibur




Antara matlamat utama manusia ini dicipta oleh Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya seperti yang firmankan oleh Allah: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(surah Az Zariyyat :56)


Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT. Tujuan garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada para penganjur hiburan agar program hiburan yang dijalankan tidak menyalahi syara’ dan tersasar dari tujuan beribadah kepada Allah SWT.

ISLAM DAN HIBURAN Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi hukum-hukum syara’.

GARIS PANDUAN MENGADAKAN ACARA KONSERT / PERSEMBAHAN DAN HIBURAN DALAM ISLAM

1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

Allah SWT memberi peringatan kepada sesiapa yang meragui kebenaran hari kiamat dengan firmannya: “Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa”. (surah Taaha : 15-16)

2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

“Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wudhuknya, kekhusyukannya, dan ruku'nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

3- Muzik atau nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.

Oleh itu nyanyian sebegini hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah seperti berikut:
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya.” (surah Al Qasas : 55)

“Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian seseorang tentang zina yang tidak mustahil didapatinya. Maka zina mata adalah memandang, zina lidah adalah mengucapkan, zina hati adalah mengingini dan faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.

5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.

Allah swt berfirman berkenaan tuntutan menutup aurat: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.” (surah Al A'raf : 26)

Rasulullah saw juga memberi amaran kepada wanita yang tidak menutup aurat mereka: “Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).” (Hadis Riwayat Tarmidzi)

6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama /lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

Rasulullah saw bersabda dalam hal pergaulan lelaki wanita ajnabi ini: “Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

Firman Allah SWT: “Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (surah Al Ahzab : 32)

Dan Rasulullah SAW juga bersabda: “Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; Beberapa orang daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

PERINGATAN Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghakan manusia. Allah SWT berfirman: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (surah Al Lukman :6)

Bertitik-tolak dari itulah, satu garis panduan berkenaan hiburan disusun supaya kehalusan seni hiburan yang digariskan Islam itu dapat direalitikan. KESIMPULAN Industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam.

Ini menuntut kesedaran yang tinggi dari pemuzik dan penggiat seni Muslim supaya membentuk industri hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang beracukan penetapan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW.


www.iluvislam.com
(sumber dari: Dato' Seri Harussani b. Zakaria)