Monday, April 19, 2010

:: selamat menghadapi minggu peperiksaan =)

bismillahirrahmanirrahim..



:: niat 'LILLAHITA'ALA' dalam setiap pekerjaan kita, insyaALLAH setiap pekerjaan kita dikira sebagai ibadat n akan mendapat keberkatan dariNYA.. :)

:: all da bez ya sahabat wa sahabiah sama ada y belajar d bumi tanjong malim ini n teman-teman yang lain.. ^_^

:: moga ALLAH swt mpermudahkan urusan kita semua insyaALLAH..

:: moga mndapat result y bagus .. =)

:: ceria-ceria selalu.. =)

Friday, April 16, 2010

Redha dan Ikhlas



www.iLuvislam.com
al-azim

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :


" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )


Belajarlah untuk ikhlas.


Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )


Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya. ( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )

Thursday, April 8, 2010

:: EFFECTS OF COLD WATER ~

bismillahirrahmanirrahim..

Seorang mukmin adalah pemimpin bagi dirinya dan selalu menghisab dirinya.
(Hasan Al Bashri)



alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya kerana sehingga ke saat ini, diri ini masih lagi sihat walafiat n moga keluarga yang tercinta yang berada di kampung juga sihat walafiat dan sentiasa berada dalam lindunganNya insyaALLAH.. amin ~ asif, kerana diri ini tidak sempat untuk mencuri masa untuk menjengah dan meng'update' blog usang ini. semester ini adalah semester yang paling sibuk sekali. ! dengan minor, tugasan-tugasan, aktiviti-aktiviti surau, adik-adik tersayang.. ehm.. memang nak menjengah blog usang kesayangan ini.. tp, memang tidak punya kesempatan.. hanya sempat untuk masukkan entri-entri yang diambil dari laman sesawang yang diri ini rasakan sangat bermanfaat untuk dikongsikan di dalam blog usang ini.. alhamdulillah, sekarang diri ini rasakan perlunya diri ini meng'update' blog usang ini kerana tidak boleh membiarkan blog usang ini terlalu bersawang untuk sekian waktu.. ehehe.. ~ kali ini diri ini ingin kongsikan sesuatu yang insyaALLAH bermanfaat untuk sahabat sahabiah baca dan ketahui.. :)apa yang diri ini kongsikan di sini dapat dari dari seorang teman maya yang menghantar artikel ini melalui emel diri ini.. :)

>>EFFECTS OF COLD WATER<<




Serangan Jantung dan Amalan Minum Air Panas .....


Artikel ini berguna untuk semua.

Bukan sahaja amalan meminum air panas selepas makan, tetapi berhubung SERANGAN JANTUNG!!!!.
Kita tidak akan kehilangan apa-apa... malah
akan mendapat faedah dari amalan ini.

Kepada sesiapa yang suka minum AIS, artikel ini sesuai untuk anda baca. Sememangnya sedap minum air berAIS selepas makan.
Walaubagaimanapun, AIS akan membekukan makanan berminyak
yang baru kita makan. Ia akan memperlahankan penghadaman kita.
Bila lemak-lemak ini terbentuk di dalam usus, ia akan menyempitkan banyak saluran dan lama kelamaan ia akan menyebabkan lemak berkumpul dan kita semakin gemuk dan menuju ke arah mendapat pelbagai PENYAKIT.
Jalan terbaik...adalah untuk minum sup panas atau air PANAS/suam selepas makan.

:Nota penting tentang SERANGAN JANTUNG!!!

Anda patut tahu bahawa bukan semua tanda-tanda serangan jantung akan mula terasa pada tangan sebelah kiri.
Berhati-hati juga pada permulaan sakit sedikit-sedikit pada bahagian atas dada anda.
Anda mungkin tidak akan mengalami sakit dada pada
serangan pertama serangan jantung.
Keletihan dan berpeluh adalah tanda-tanda biasa. Malah 60% penghidap SAKIT JANTUNG tidak bangun selepas tidur.
Marilah kita berwaspada dan berhati-hati..
Lebih banyak kita tahu, lebih cerah peluang kita untuk terus hidup...

*****
apa yang diri ini kongsikan di atas sedikit sebanyak kena pada diri ini.. dulu, tidak sah kalau selepas makan mesti nak kena cari ais jugak.. ais dan diri ini macam tidak dapat dipisahkan pada suatu ketika dahulu. ketika diri ini membaca artikel ini,alhamdulillah diri ini sudah lama meninggalkan tabiat suka minum ais apabila selesai makan.. heee.. diri ini ingin kongsikan apa yang berlaku terhadap diri ini pada minggu lepas.. memang sebelum ini, diri ini berasa tidak enak, berasa something yang pelik seperti sakit dalam dada diri ini.. kebetulan kuliah pada minggu lepas berlangsung di dalam bilik kuliah yang terasa amat luar biasa sejuknya dari biasa.. baru je masuk kelas itu dalam setengah jam.. diri ini terasa sangat sejuk dan sampai menggigil tangan diri ini.. dalam masa yang sama diri ini telah melihat jari-jari diri ini.. ya ALLAH... biru! dan pada masa yang sama terasa sesak di dalam dada diri ini rasakan.. ' ya ALLAH.. petanda apakah ini?? ' .. diri ini tertanya-tanya..

sebelum itu diri ini sudah sedia tahu dari rakan-rakan yang pandai melihat penyakit dari tangan.. mereka mengatakan yang diri ini ada masalah dengan jantung diri ini kerana petunjuk adalah amat jelas.. pada mulanya diri ini sukar untuk percaya, tetapi apabila telah melalui situasi seperti ini telah membuatkan diri ini sedar bahawa diri memang mempunyai masalah kesihatan.. selepas dua hari situasi tersebut berlaku, diri ini sempat ber'ym' dengan kakak angkat kesayangan yang kebetulan belajar dalam bidang 'medic' di indonesia.. diri ini telah menceritakan apa yang telah berlaku kepada diri ini kepada beliau.. reaksi beliau apabila membaca apa yang telah diri cerita kepada beliau ialah beliau sangat terkejut dengan apa yang terjadi terhadap diri ini. beliau mengatakan bahawa simpton-simpton yang diri ini alami itu adalah simpton-simpton kekurangan oksigen dalam jantung!!! dan memberitahu bahawa kesan dari kekurangan oksigen adalah sangat teruk.. ! individu yang mempunyai simpton-simpton ini akan pengsan dan akan mengalami masalah yang lebih teruk lagi apabila mereka kekurangan oksigen dalam jantung mereka.. ya ALLAH.. terkedu seketika diri ini.. barulah diri ini merasakan yang apa yang berlaku kepada diri ini sebelum ini adalah teruk juga.. ~ beliau menyarankan diri ini berjumpa dengan doktor untuk periksa keadaan diri ini secepat yang mungkin.. tetapi disebabkan punya kenkangan yang tertentu telah menyebabkan diri ini menangguh dahulu hasrat diri ini ingin berjumpa dengan doktor... ya ALLAH.. bantulah hamba ya ALLAH..




Umar Al Khattab

"Barangsiapa meninggalkan ucapan yang tidak perlu, maka dia akan diberi hikmah. Barangsiapa meninggalkan penglihatan yang tidak perlu, maka dia akan diberi kekhusyu’kan dalam hati. Barangsiapa meninggalkan makan yang berlebihan, maka dia diberi kenikmatan beribadah Barangsiapa meninggalkan tertawa yang berlebihan, maka dia akan diberi kewibawaan. Barangsiapa meninggalkan cinta duniawi, maka dia akan diberi kecintaan kepada akhirat"

Monday, April 5, 2010

:: Cinta atau Nafsu?



-www.iluvislam.com-

Utusan 2 Mac melaporkan: Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.

Harian Metro pula melaporkan: Mengaibkan apabila semakin ramai remaja perempuan beragama Islam di negara ini kehilangan dara pada usia muda. Lebih membimbangkan, segelintir mereka berbangga dengan status itu dan beranggapan remaja yang masih dara sebagai kelompok ketinggalan zaman.

Dan Harakah Daily 16 Feb juga turut melaporkan: Jumlah anak tanpa bapa di Malaysia mencecah 257,411 orang sekarang, sama hebat dengan ancaman penyakit selsema burung atau aedes, kata Senator Muntaz Mohd Nawi. Beliau ketika merasmikan program Hi-Tea anjuran Dewan Muslimat PAS Bayan Baru di Dewan Orang Ramai Sungai Ara semalam juga membidas dasar kerajaan yang tidak serius menangani permasalah tersebut berbanding ancaman penyakit lain termasuk chikunya.

Adam dan Hawa

Manusia pertama yang diciptakan iaitu sang Adam menikmati segala yang indah di syurga. Namun Baginda tetap berasa sunyi dan 'kehilangan'. Akhirnya Hawa diciptakan untuk menemani Adam. Barulah Adam berasa lengkap dan sempurna. Mereka bahagia di syurga dan kemudiannya kerana cintanya kepada Hawa, akhirnya mereka dihukum turun ke bumi. Manusia pertama dan kedua adalah lelaki dan wanita. Saling memerlukan dan saling melengkapi. Masa terus berlalu dan sehingga kini, lelaki dan wanita masih saling memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing ada tarikan yang tersendiri. Wallahua'alam.

Kenapa Nikah


Masing-masing pasti ada jawapan yang tersendiri. Kadang-kadang bila niat menyeleweng, bukan bernikah kerana mencari keredhaan Allah, tapi bernikah kerana ingin bermegah-megah, bernikah kerana ingin memuaskan nafsu, bernikah kerana seronok melihat orang lain bernikah, bernikah kerana terpaksa, bernikah kerana ingin memiliki si dia semata-mata, maka masjid yang terbina mudah benar runtuh, terjadilah penceraian. Ramai yang bernikah tanpa berfikir panjang, bernikah dalam keadaan mental dan fizikal yang tidak bersedia, kewangan yang tidak stabil, bernikah tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup menjadi antara sebab punca terjadinya sesebuah penceraian. Wallahua'alam.

Kisah Cinta

Semalam saya mendapat panggilan telefon dari seorang teman lama. Alhamdulillah. 14 Mac ini dia akan mendirikan rumahtangga. Saya gembira untuknya. Panggilan itu juga berjaya mengimbas kembali 'cerita lama'. Bukan untuk mengaibkan si dia, namun saya rasa elok dikongsikan di sini agar dapat menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Dia saya namakan A dan bakal suaminya adalah B. A adalah bekas teman serumah saya. Mula-mula bekerja, saya mencari bilik untuk di sewa dan akhirnya melalui iklan yang di tampal di 7E, saya ditakdirkan berkenalan dengan A. Mula-mula berkenalan, A seorang yang bebas bersosial, ramai kawan lelaki dan bebas keluar dengan sesiapa sahaja. Saya juga tak pernah melihat dia solat. dan malangnya waktu itu saya juga kurang kesedaran dalam perkara 'amar makruf nahi munkar'. Sekadar melarang berbasa basi sahaja. A pernah putus cinta. Melalui ceritanya, bekas kekasih dia C ada perempuan lain, dan sebelum ini mereka tinggal bersama/bersekedudukan serta pernah di tangkap basah. Barulah A berpindah ke rumah kami sekarang. Awal-awal saya menetap dengan A, dia sudah bercinta dengan D, tapi turut keluar dengan lelaki lain X, Y, Z (infiniti). Pernah sekali dia lambat datang haid, dia kelam kabut mencari bekas kekasihnya C, buat pregnancy test dan sebagainya. (timbul sedikit syak wasangka..kata ex, tapi masih berhubung ke?) wallahua'alam. Di pendekkan cerita, A bertemu dengan B dan mula serius. B seorang yang baik akhlak. Kerja stabil dan senang mata melihat. Dan beransur2 A mula berubah-positif. Saya mula melihat dia membeli selendang, dan ada masanya dia solat. Alhamdulillah. Lega saya melihat perubahan dia. Dan bila ingin keluar dengan B, A suka menayangkan telekung yangg akan di bawa bersama. Menunjukkan mereka keluar bersama dan solat bila tiba waktunya. ALhamdulillah. sejuk hati saya melihat perubahan positif itu.

Pecah Tembelang

Namun, suatu hari kedua-duanya cemas dan meminta pandangan dari saya. "Kak as, camne nih, A buat pregnancy test td, positif"..Astagfirullahalazim....bagai batu menghempap kepala saya. Rupanya dalam 'baik' mereka.. Ada 'rahsia' yang tersembunyi. dan petangnya si B yang innocent itu juga turut bertemu saya. "Apa nak buat ni Kak As, dah cakap dah dengan A taknak, dia cakap ni last," Si B dengan muka kusutnya meluahkan perasaan, dan saya sedar. Si B telah diperangkap oleh si A secara halus untuk memilikinya.

Seks dan Cinta

Wanita sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan cinta, tapi si lelaki pula sanggup berbuat apa sahaja untuk seks. (tak semua). Si A yang lebih 'berpengalaman' telah merenggut teruna si B. Dan akhirnya berjaya 'mengikat' si B. Atas rasa cinta dan lain-lain sebab, mereka akhirnya merancang untuk berumah tangga. Happy ending tapi ini cuma kes terpencil.

Selepas tembelang mereka pecah, A berpindah keluar dari rumah, diam tanpa berita hinggalah semalam dia kembali menghubungi saya untuk memaklumkan berita gembira tentang pernikahannya. Saya benar-benar gembira untuknya. Setidak-tidaknya dia tidak lagi bergelumang dengan maksiat. Naauzubillah.

Pengalaman kenal dengan ramai orang mendedahkan saya dengan pelbagai 'cerita'. Ada satu lagi kisah. Si wanita, T, yang sudah 'tiada dara' berjaya mendapat cinta si S dengan cara yang serupa. Tiga hari berkenalan, sudah rela hati mengikut si S balik ke rumah dan bila lelaki dan wanita berduaan di sebuah bilik, pastinya ada yang ketiga lalu terjadilah maksiat yang hina. Astaghfirullahalazim..

Bukan itu sahaja, saya pernah kenal dengan seorang gadis, waktu itu dia di tingkatan lima. Saya mengenalinya semasa bekerja part time sewaktu cuti semester. "Kak as, kalau saya ajak dia tidur camne yer?dia nak tak?" Astaghfirullahalazim....ke situ pulak dia fikir. Buaya mana tolak bangkai dik oii..Betapa 'dara' di pandang remeh oleh si gadis. Betapa zina di anggap 'benda biasa' di zaman milennium ini. Naauzubillah..

Teringat zaman pengajian saya di universiti. Pelajar lelaki dan wanita tinggal serumah, pelajar lelaki keluar masuk rumah pelajar wanita, dan ada juga yang 'kantoi' di bilik asrama dan dewan kolej. Astagfirullahalazim..satu kes yang paling gempar semasa saya di universiti adalah seorang naqibah bertudung labuh di tangkap berkhalwat dengan pasangannya di bilik komputer kolej..Aduh~!!Apa lagi yang kurang?

Malang bagi si Juliet yang gagal dalam mengejar cinta. Bukan saja kehilangan 'harta yang paling berharga', lebih dari itu, mereka melakukan dosa besar, kedua-duanya di kenakan tindakan disiplin oleh pihak kolej/universiti, menanggung malu yang tidak terhingga, dan bertambah malang pula apabila si Romeo tidak mahu bertanggungjawab dan menolak untuk bernikah. Hasilnya, si Juliet terpaksa berhenti belajar dan si Romeo pula kembali ke unviversiti semula selepas di gantung tanpa riak rasa bersalah..

Wahai hawa, kenapa harus kita yang menjadi mangsa? "Wanita umpama sebuah rumah yang penuh dengan harta yang bernilai. Jika kita ingin melindungi harta itu, kita sepatutnya mengunci rumah itu dengan sebaik mungkin dan sebaliknya terjadi jika kita membiarkan pintu rumah sentiasa terbuka, pasti sesiapa saja akan dapat menceroboh dan merampas harta yang bernilai itu...pilihan terletak di tangan kita..Wallahua'alam."



Kesimpulan

Seks dan zina bukanlah perkara remeh dan tidak boleh di pandang enteng. Seharusnya gejala tidak sihat ini di bendung dan di banteras. Jika terus dibiarkan ia ibarat barah yang merosakkan sesuatu bangsa dan agama. Jika ia terus di biarkan, sesebuah institusi pernikahan tidak lagi dipandang tinggi. Susur galur keturunan dan nasab juga menjadi celaru. Anak luar nikah kian bertambah. Kes pengguguran dan buang bayi pula meningkat. Dosa dan pahala dipandang ringan. Syurga dan neraka bagaikan tiada beza. Kita sayang keturunan kita. Kita sayang agama kita. Kita sayang bangsa dan negara kita. Tapi bagaimana kita ingin mengatasi permasalahan ini? Adakah memadai dengan memeluk tubuh dan menggelengkan kepala?

"Janganlah kamu mendekati zina bahawa sesungguhnya ia (zina) adalah kejahatan dan keji perjalanannya"

"Bahawa sesungguhnya solah (sembahyang) itu (berupaya) mencegah (yang mendirikannya) dari melakukan perkara yang keji dan mungkar"

Sedetik dua detik, saya berfikir sendirian..harus bagaimanakah percaturan ini ingin diteruskan?Semoga Tuhan terus memberikan kekuatan dan petunjuk, kepada saya dan seluruh umat manusia.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya"


(Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
[Al-Baqarah: Ayat286]